Sunday, October 24, 2010

Aplikasi Seni dalam Pengajaran

Seni adalah suatu bentuk dari pencerminan kehidupan manusia. Aplikasi seni dalam pengajaran dapat diwujudkan dalam pelbagai hal yang kemudiannya akan memberikan bahan pengajaran dan makna yang penting dalam pengajaran itu sendiri. Terdapat beberapa aplikasi-aplikasi seni yang boleh digunakan oleh guru dalam melaksanakan penghubungkaitan tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran semasa di dalam kelas. Penghubungkaitan di dalam mata pelajaran ini boleh disamakan dengan program-program antara disiplin-disiplin yang terdapat di dalam mata pelajaran yang lain.
Antara aktiviti pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah penggabungjalinan. Penggabungjalinan ini bermaksud sebagai satu proses mengintegrasikan pelbagai bidang kemahiran bagi mewujudkan suatu pelajaran yang integratif dan menyeluruh. Melalui strategi penggabungjalinan ini berbagai-bagai kemahiran dalam sesuatu pelajaran disampaikan secara harmoni dan bersepadu, sama ada dalam satu mata pelajaran atau dalam beberapa mata pelajaran. Strategi penggabungjalinan kemahiran ini akan melahirkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan bermakna serta menimbulkan suasana proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Penggunaan strategi ini membolehkan pelajar berpeluang menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan cara bersepadu. Contohnya, seorang guru sains ingin menyampaikan sesuatu pengajaran tersebut kepada para pelajarnya dengan cara yang mudah dan senang untuk difahami. Jadi, guru tersebut akan menggunakan penggabungjalinan dimana unsur-unsur seni diselitkan dalam pengajaran tersebut melalui melakukan satu aktiviti melukis. Para pelajar perlu melukis gambar rajah sesuatu topik dalam subjek sains yang diajar oleh  guru supaya mereka lebih mudah memahami dan dapat menggambarkan situasi yang sebenar.
Selain itu, penyerapan juga adalah salah satu aktiviti pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penyerapan ialah proses menyebati dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Proses penyerapan lebih kepada unsur pengetahuan. Penyerapan merupakan proses mengintegrasikan unsur-unsur isi kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran dalam sesuatu pelajaran. Contohnya, daripada mata pelajaran sains guru akan mengambil petikan atau artikel sains bagi aktiviti bacaan dan kefahaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Dengan ini pelajar akan memperolehi ilmu pengetahuan sains semasa mempelajari kemahiran mata pelajaran Bahasa Melayu.
Seterusnya, penerapan juga adalah penting. Konsep penerapan ini boleh didefinisikan sebagai satu proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai yang dimaksudkan ialah nilai-nilai murni, nilai kewarganegaraan, nilai kemasyarakatan, nilai alam sekitar, nilai kemanusiaan, ketuhanan dan sebagainya. Contohnnya, setiap sekolah telah ditetapkan bahawa setiap pelajar wajib melibatkan diri mereka secara aktif dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah seperti terlibat dalam perkhemahan, permainan, sukan dan sebagainya akan membentuk nilai-nilai murni yang diingini dan yang perlu ada pada setiap manusia. Disamping itu, para pelajar juga akan mula bergaul dengan baik dengan rakan-rakan malah juga dengan bangsa-bangsa yang lain.
Seterusnya, menghubungkaitkan pengetahuan dalam berbagai mata pelajaran yang diajar. Proses penghubungkaitan pengetahuan dalam berbagai mata pelajaran adalah berfokuskan kepada matlamat terakhirnya. Untuk itu, proses ini akan berbentuk satu lingkaran atau bulatan dan antara setiap mata pelajaran itu saling berkait untuk mencapai satu matlamat. Selain itu, menghubungkaitkan kemahiran dalam berbagai mata pelajaran iaitu dengan adanya penghubungkaitan kemahiran dalam berbagai mata pelajaran akan dapat
mengubung kait sesuatu yang dipelajari dengan keadaan kehidupan yang sebenar. Penghubungkaitan ini berperanan sebagai satu strategi dan kaedah pendidikan untuk membantu melahirkan pembelajaran dan persekitaran yang menyelitkan unsur-unsur sosial agar dapat membentuk supaya setiap insan itu akan terus dihormati, menggalakkan sikap kepimpinan yang terpuji, berinisiatif dalam menjalankan tugasan yang diberi oleh guru dan bersikap inovasi dalam melaksanakan satu-satu aktiviti dan kemahiran serta dapat merangsang setiap pelajar untuk mencapai kecemerlangan dari segala sudut baik akademik mahu pun kokurikulum.
Ia secara tidak langsung akan mengaitkan mata pelajaran seperti sejarah, sains dan teknologi, kajian sosial, bahasa danfizikal dan pembangunan sosial, meletakkan keseluruhan kurikulum kedalam konteks kehidupan yang sebenar. Setiap pelajar berhak memperolehi pengalaman berasaskan pendidikan yang pelbagai bentuk walau pun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan taraf sosio ekonomi yang berbeza dan mempunyai sebarang kekurangan. Untuk itu seni visual memainkan peranan yang penting dalam pendidikan keseluruhan dan pembangunan minda pelajar.Sebagai seorang guru peranan yang perlu dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk merancang sesuatu pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sistematik.
Seterusnya, untuk menggunakan penghubungkaitan seni dalam pengajaran dan pembelajaran semasa di dalam kelas, guru perlulah merancang topik, objektif, isi, cara penyampaian dan penilaian yang bersesuaian dengan kebolehan sedia ada serta minat pelajar tersebut. Selain itu, guru juga berperanan memberikan motivasi kepada para pelajar. Motivasi bermakna seni praktik menggunakan insentif dan membangkitkan minat untuk tujuan membuatkan pelajar menunjukkan prestasi dalam cara yang diingini. Selain itu, pengukuhan merupakan salah satu cara yang perlu digunakan oleg seorang guru untuk merangsang minda pelajar dan akan menyebabkan pembelajaran pelajar semakin meningkat maju atau terdapat peningkatan dalam tingkahlaku kearah yang lebih positif. Penyampaian pengukuhan ini juga dapat membentuk para pelajar memperolehi pelbagai pengalaman serta pengetahuan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan itu adalah menarik dan mencabar mereka.

Sumber :  http://manshurzikri.wordpress.com/2010/05/12/aplikasi-seni-dalam-kehidupan/



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...