Friday, November 5, 2010

Kisah Saya Dan Awak




Sedar tidak sedar, sudah hampir 2 tahun saya mengenali awak. Tak pernah saya terfikir peristiwa yang memang tidak masuk akal yang terjadi membuat hati kita telah bertaut. Syukur, alhamdulillah...Terima kasih Ya Allah kerana mentakdirkan saya tergerak hati untuk.... dan terima kasih juga kerana Allah menggerakkan awak untuk men.......kan saya. Jika tidak, hubungan kita tidak mungkin sampai sejauh ini. Siapa pernah menyangka peristiwa seperti itu mampu mengikat hati dua insan. Walaupun saya dan awak masing-masing berjauhan, tapi alhamdulilah, hubungan kita masih lagi terjaga.

Saya sedar, hari demi hari saya semakin menyenangi kehadiran awak dalam hidup saya. Saya bersyukur atas hubungan ini. Bersyukur kerana kita bukanlah seperti pasangan kekasih lain. Awak tidak pernah mengucap kata rindu, apatah lagi kata sayang. Seingat saya sepanjang hampir 2 tahun ini, tidak sampai 5 kali kita bersua muka. Itupun tatkala awak dan keluarga datang beraya ke rumah saya. Saya juga bersyukur ibu bapa kita saling meredhai persahabatan kita.

Hari demi hari, kita semakin matang. Saya semakin mengenali dunia, semakin mendalami ajaran Islam sebenar. Dulu, saya fikir hubungan kita tidak salah. Ya, memang tidak salah dari pandangan mata luar. Namun jujur jauh di sudut hati saya, saya sering merindui awak biarpun tiada siapa antara kita yang pernah melafazkannya. Pernah saya angankan awak menjadi pembimbing keluarga saya kelak. MasyaAllah, astghfirullahalazim..begitu jauh saya lalai. Kata-kata seorang teman ketika waktu dulu benar-benar mendorong saya berfikir panjang. “Zina hati sememangnya kelihatan kecil, namun dosanya tetap sama”.

Astaghfirullahalazim…saya beristighfar panjang. Dengan segala kekuatan yang ada, saya katakan kepada awak. “Jangan hubungi saya lagi melainkan awak bersedia mengahwini saya”. Saya sendiri tidak pasti dengan apa yang saya lakukan. Saya sedar awak pasti kebingungan dengan kata-kata saya kerana antara kita sememangnya tiada yang istimewa. Saya juga sedar hakikatnya, awak juga punya perasaan terhadap saya biarpun awak membisu seribu bahasa. Hubungan kita terputus begitu sahaja. 

Enam bulan berlalu dengan amat sukar bagi saya. Setiap hari saya berdoa semoga Allah permudahkan segala yang terbaik untuk saya, semoga Allah permudahkan jika apa yang saya lakukan benar-benar keranaNya. Ingin saya katakan betapa saya sukar untuk melupakan awak. Dalam kesibukan saya melupakan awak, tiba-tiba saya dikejutkan dengan rombongan peminangan. Andai awak dapat melihat hati saya, pastinya awak tahu betapa terkejutnya saya. Ya Allahhh, alhamdulillahhh...awak tunaikan permintaan saya. Awak datang lagi ke rumah saya, tapi kali ini dengan sebentuk cincin. 

Sekarang saya sudah menjadi tunangan awak. Tapi kita harus ingat, ikatan ini bukan lah satu tiket untuk kita bebas merindui awak, bebas berbicara dengan awak tanpa rasa bersalah dan bebas menyayangi awak. Tapi saya hanya mampu berserah semoga ikatan ini akan berkekalan dan kerana saya yakin awaklah pembimbing hidup saya nanti. Terima kasih  Ya Allah kerana mengikatkan kami dengan ikatan ini biarpun pada usia muda remaja. Saya selalu berdoa semoga kita sentiasa berada di jalan yang benar,,InsyaAllah...

Terima kasih Ya Allah kerana telah menghadirkan awak dalam hidup saya.

~..::281209::..~




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...