Tuesday, November 30, 2010

FRUST BERCINTA???..


"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan"

Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku. Semenjak bergelar mahasiswa di IPTA utara ini, bermusafir menjejak ilmu kejuruteraan yang hampir tamat destinasi pengajian sarjana mudaku ini. Malah bukan perkara yang ajaib jika tidur pun berselimutkan helaian nota. Menjeling sejenak salinan tesis pelengkap pengajianku. Aduhai, tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1minit setiap hari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input yang penting untuk dihadami. Serabut..?! tapi, berkat kesabaran, ketidakjemuan menapak ke aras 3 Fakulti kejuruteraan yang menyisipkan 1001 kenangan, berbincang dengan penyelia, Dr. Zairy adalah antara ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyum tanda aku puas. Syukur ya Allah!

Menerima sms tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu. "khabar apakah zul di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNya. Maaf, kiranya sms ini menggangu. Masih ingatkah zul pada Husna? Husna, mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun yang lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di Matrikulasi. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan membuatkan aku terkedu. Lantas kuatur langkah menuju ke utara, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.

"zul, maafkan Husna. Husna masih menyayangi zul. Perasaan Husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas". Aku tersenyum membaca sms yang ke2. Senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang! Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya dia pasti akan kembali padaku. Benar teman, kini dia kembali!

"Lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan". Ya aduhai, kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih! Nak nak ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu. Disapa oleh seorang sepupu yang ku kira paling 'bengkeng' dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan. Ini semua, Angah punya pasal. Dicanangkan seluruh famili ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat. Mahu rasanya ditukar Angah menjadi katak yang paling hodoh.

"Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ker? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana" Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untuk kumenjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya kau menang! Akurkah aku dengan setiap patah-patah kata yang begitu melukakan hati, tapi sukar untuk kunafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu. Benar aku insan dhaif yang lemah.. lemah dengan cinta manusia yang sia-sia. Aku tertunduk lesu.

"Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata. Tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo Juliet, Laila Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model? Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar. Atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati?! Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal Rabah dan seindah kasihnya Handzalah!"

Bisa benar kata-kata daripada mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati?! Benarkah telahan gadis itu? Hai, bukan awak yang merasa pedihnya hati ini, mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu, cuba kena pada batang hidung sendiri, mahu meraung. "Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut tengok keadaan awak. Konon-konon cita untuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin katanya, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang... Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana!"



Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hemburan kata-kata itu. "Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali penciptaMu, benar bukan?! Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu, benar-benar telah berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!" Aku mencebik dan tersenyum sinis.

"Kau tidak percaya?! Lihat sahaja dirimu itu, mengalahkan ayam mati bini". Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sah lah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Bertahun aku menganyam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku padanya. Alasan yang cukup pasif, pada bicaraku. Menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar untuk aku menerima hakikat itu. Dan, inilah habuan yang aku terima. Pelajaran entah ke mana, kehidupan yang tidak terurus. Peperiksaan bakal menyapa tidak kurang daripada 2 bulan lagi. Dan aku tidak menjanjikan bahawa sebarang kejayaan bakal kuraih pada keluargaku.

"Kau terlalu naif!" Aku tersentak, benarkah? "Lihatlah wajah-wajah babahmu, umimu dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musih Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka cukup takutkan semangat jihad yang ada pada kita, ORANG ISLAM. Tapi, lihatlah jihadmu sudah terkulai layu.. Kau takkan mampu menentang mereka, sebab kau tidak mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu!" Mendatar kalimah itu.

"Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu!" Aku meneliti bait-bait yang terlontar.

"Aku tidak menafikan manusia itu memerlukan cinta, sebab cinta itu kurniaan yang nan indah oleh Allah. Tapi, jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki, selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sedari azali, Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkan cinta itu kerana kau tahu siapa dirimu yang sebenarnya untuk meraih cinta Allah yang ternyata ramai berebut untuk mendapatkannya." Dia melepaskan satu keluhan. "Tapi aku terlalu sedih, kau hanya lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah... sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya." Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku.

Angah kulihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu. "Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah," terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangka kan. Malam itu, lama aku bermunajat dan berteleku di atas sejadah. Qalam mulia itu kembali intim di bibir, tidak sekadar hanya merenung seperti kebiasaanya. Malam itu menyaksikan air mata lelaki ku, tumpah jua akhirnya, biarpun ia bukan yang pertama. Tapi, kali ini ia tumpah pada yang berhak. Menangisi kepasifan diri ini.

Serasanya itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh. Mendamba cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Dia masih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku. Dialah yang menyedarkan aku. Tapi, aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyampaikan ucapan terima kasih ku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah. Benar, kata-katamu itu terlalu benar.

Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini, aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini. Dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon padaNya moga akulah calon soleh untuk meraih cintaNya yang abadi. Kepada sepupuku, Mardhiahtul Aliah... terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit, tapi buah kemanisan iman itu sudah kutemui. Husna, juga ucapan terima kasih. Kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku takkan mengenal hakikat diri. Sms Husna ku balas... "Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar aqal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT,"

 walahualam...

P/s : Suka baca kisah nie sebab nama dalam watak nie sama dengan namaku…mudah-mudahan aku sepertinya jua…aminnn….

Sunday, November 28, 2010

..::Untukmu Insan Bernama WANITA::..



 Apabila kamu berkawan dengan lelaki,
ingatlah ada dua pilihan terbentang...

PERTAMA...
kamu jadi seperti KELAPA...
mudah diperoleh..
diparut...diperah..
dan diambil santannya...
lepas itu hampasnya dibuang...

KEDUA...
Kamu menjadi sebutir MUTIARA..
berada di dasar lautan...
tersimpan rapi..
dilindungi kulit...
bukan senang nak lihat..
apa lagi mendapatkannya..
hanya orang yang bertuah ...
berusaha menyelami dasar lautan...
dapat memperolehnya..
harganya mahal sekali..
dan ia akan tersimpan selamanya..

jadi..
kamu pilihlah sama ada hendak menjadi KELAPA ataupun MUTIARA..
di sebalik SANTAN..
menjadi penyedap makanan..
diperah segala kenikmatan..
dengan mudah jatuh menjadi titisan..
akhirnya habis kari dimakan..
pulut panggang sisi habis ditelan..
dan SANTAN hilang tak jadi ingatan..
yang terasa lazat hanya kari dan pulut panggang..
orang tak kenang jasa SANTAN..

MUTIARA...
tertanam di dasar paling dalam...
sukar andai mengharap jadi perhatian..
kerana MUTIARA dilindungi oleh cengkerang yang menghadangnya dari ancaman musuh..
namun kiranya ditemui insan..
akan menjadi PERMATA HIASAN..
terletak tinggi di cincin idaman..
atau di leher nan jinjang..
atau di lengan menawan..
makin lama MUTIARA tertanam..
makin tinggi nilainya..

oleh itu...
pilihlah sendiri...
menjadi SANTAN..
mudah jadi perhatian..
tapi hanya sebentar jadi santapan...
kemudian hilang segala nikmat dan pujian..
menjadi MUTIARA..
sukar ditemukan..
namun bila dihias indah gadis rupawan..
hilang ia..
tangisan mengiringi zaman...

P/s : Pilih sendiri wahai puteri sayang..mahu jadi SANTAN atau MUTIARA...

Aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa..



Aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.

 Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan. Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.

Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.

 Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah. Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.

Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.

Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.

Di mana? Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada. Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.

Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali! Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik. Tudung tak labuh pun masih tutup aurat. Dont judge people by its cover. Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata. Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.

Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak. Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?
  
Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.

Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

P/s : Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat..insyaAllah…



10 Soalan Sebelum Meminang


 Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin’.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait yang kini aktif mengadakan program-program berbentuk bimbingan kekeluargaan, berdasarkan pengalaman dan pengamatannya ketika mengendalikan kes-kes berkaitan dengan masalah rumahtangga menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chating dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan  pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di  tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

 P/s : Hmmmm…9/10..hik7 alhamdulillahhh,ok la tuuu….

Wednesday, November 24, 2010

7 KALIMAT YANG PERLU KITA KETAHUI DAN AMALKAN!!!



 BARANG SIAPA YANG MENGHAFAL 7 KALIMAT INI IA AKAN DIPANDANG MULIA DISISI ALLAH SWT,serta MALAIKAT SERTA DIAMPUNI JUGA SEGALA DOSA2NYA WALAUPUN SELUAS LAUTAN.........

1) menyebut BISMILLAH pada tiap2 melakukan sesuatu...
2) menyebut ALHMDLLAH pada tiap2 selesai melakukn sesuatu...
3) menyebut ASTGHFIRULLAH jika lidah terselit kata2 yang tidak patut @ kata2 yang tidak baik
4) menyebut INSYALLAH pada tiap2 merencanakan sesuatu @ ketika berjanji..
5) menyebut LA HAULA WALA KUWWATA ILLA BILLAH bila ditimpa @ menghadapi sesuatu yang tidak diingini..
6) menyebut INNALILLAH HI WAINNA ILAIHIRAJIUN jika menghadapi musibah dan menerima musibah...
7) menyebut LAILAHAILLH MUHAMADUR RASULULLAH sepanjang siang dan malam sehingga tidak terpisah dari lidah.Amalkn selalu supaya menjadi kebisaan dan menjadi rutin harian.....

P/s : INSYALLAH!!!kita pakat2 amalkn!!...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...